Unduk Ngadau Kaamatan Klang Valley
Unduk
Ngadau Kaamatan Klang Valley bermula pada tahun 2000 di Raintree Club,
Jalan Ampang Hilir yang juga telah menjadi perintis kepada Pertandingan
Ratu Kebudayaan yang pertama di Kuala Lumpur. Semenjak itu, Unduk
Ngadau telah menjadi aktiviti tahunan KDCA
Klang Valley, yang mana kini telah menjadi acara yang dinanti-nantikan
setiap tahun. Pemenang Unduk Ngadau peringkat Klang Valley akan mewakili
komuniti Kadazandusun di Kuala Lumpur/Klang Valley ke peringkat negeri
untuk bertanding di kemuncak Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai pada
hujung bulan Mei, menandakan berakhirnya pesta menuai yang dirayakan
sepanjang bulan Mei setiap tahun.
Acara
ini merupakan aturcara yang paling menarik minat penonton, kemunculan
setiap peserta Unduk Ngadau disambut dengan suasana gamat dengan pekikan
atau mamangkis terutama sekali semasa peragaan oleh peserta kegemaran atau wakil daerah masing-masing.
Latar Belakang Unduk Ngadau
Secara ringkasnya,
Unduk Ngadau merujuk kepada semangat
Huminodun. Unduk Ngadau berasal dari perkataan “runduk tadau”, yang bermakna “gadis yang dimahkotakan sinaran cahaya
matahari”.
Dikatakan, selepas Huminodun dikorbankan oleh Kinoingan, selepas tujuh hari Unduk Ngadau muncul dari
kakanan dan dipercayai sebagai jelmaan semangat Huminodun. Unduk Ngadau juga dikatakan sebagai orang yang pertama mengajar
Bobohizan mentera yang diamalkan sehingga sekarang.
Semenjak itu perkataan Unduk Ngadau digunakan bagi melambangkan
kecantikan dan kebaikan budi bahasa Huminodun. Pertandingan ratu cantik
Unduk Ngadau akan diadakan pada perayaan
Tadau Kaamatan.